Sekapur Sireh


TITISAN TINTA YDP MPSM LIPIS
Oleh 


TN. HAJI SYED MOHAMED BIN SYED AGIL
PENGETUA
SMK ORANG KAYA HAJI KUALA LIPIS PAHANG 2013


ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SATU MALAYSIA .

            Syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya saya diberi peluang mengungkap bicara sempena pelancaran blog MPSM lipis . Dikesempatan ini bagi pihak MPSM Lipis , kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ENCIK HAIDZIR BIN HUSSIN mantan YDP MPSM Lipis di atas segala jasa bakti , sumbangan buah fikiran sepanjang bersama kami juga sekalung ‘TAHNIAH’ di atas pertukaran ke SM SAINS SULTAN ALAM SYAH , Putrajaya . Selamat bertugas di tempat baru semoga terus cemerlang .

            Majlis Pengetua Sekolah Malaysia kini mengalas satu tanggungjawab besar untuk mendepani transformasi pendidikan bagi mewujudkan pendidikan yang benar-benar berkualiti sebagai asas merealisasikan hasrat Negara melahirkan modal insan minda kelas pertama . Segala hasrat tidak akan tercapai tanpa penglibatan menyeluruh dan pengorbanan guru selaku golongan pelaksana dan profesional yang terbesar .

            Pendidikan masa kini dengan perubahan yang pesat perlu dilaksanakan selaras dengan keperluan Negara dalam menghadapi persaingan dan cabaran globalisasi . Tugas pendidik semakin mencabar dalam melahirkan generasi yang berdaya saing . Majlis Pengetua Sekolah Malaysia beroperasi sebagai sebuah badan professional , menuntut komitmen dan iltizam daripada seluruh warganya . Sekolah memerlukan pemimpin yang cekap , berwibawa , bijaksana , berpandangan jauh , berfikiran terbuka , berdedikasi , berkemahiran ICT , berkomunikasi dan hubungan interpersonal .

            Pemimpin hari ini bukan sekadar mengekalkan pcncapaian cemerlang masa lalu tetapi mesti membuktikan kepada sejarah tentang keupayaan merancang masa hadapan yang lebih gemilang sesuai dengan jangkaan keperluan Negara maju . Namun tanggungjawab generasi pemimpin penerus menjadi semakin mencabar . Generasi ini mesti menyesuai dan mengusahakan yang lebih baik daripada apa yang dicapai sebelumnya di samping dituntut supaya meningkatkan kecekapan bekerja secara kreatif dan inovatif , mempunyai keterampilan diri yang unggul serta mengamalkan budaya kerja yang positif . Dengan penghayatan sifat-sifat penyayang dan nilai-nilai murni , kualiti pemimpin akan lebih baik diperkasa lagi . Pemimpin berkualiti mampu menjana dan menjadi pemangkin kecemerlangan sekolah serta pendidikan Negara .

            Sesungguhnya , semangat kerja sepasukan dan komitmen semua ahli MPSM Lipis serta kerjasama berterusan akan berupaya meningkatkan kualiti dan kegemilangan pendidikan sesuai dengan matlamat dan aspirasi transformasi pendidikan negara .Blog MPSM Lipis , yang dilancarkan ini akan menjadi medan yang berkesan untuk perkongsian pintar maklumat selaras dengan arus perubahan dunia tanpa sempadan .

No comments:

Post a Comment